Amar Ma’ruf Nahi Mungkar adalah suatu usaha yang
paling mulia, tinggi kedudukannya, sangat dititikberatkan di dalam
Islam. Ianya mesti dilaksanakan agar manusia sentiasa berada di atas
landasan yang betul dan tidak menyimpang dari jalan yang sebenarnya.
Lantaran itulah jemaah Islam ditubuhkan supaya dapat membimbing hati
manusia.
Islam adalah agama samawi yang datangnya dari Allah
swt. Islam mementingkan aspek kemasyarakatan dari sudut kekeluargaan,
rumahtangga, masyarakat, pergaulan, dan kenegaraan. Islam adalah agama
yang bukan hanya mementingkan individualistik (individu tetapi ia
mementingkan ummah. Lantaran hidup manusia yang dikenali sebagai
golongan yang mudah lupa, lemah dan serba kekurangan, didatangkan para
Nabi as sebagai pencetus kebangkitan dan penegur atas segala kesilapan
dan kesalahan yang dilakukan. Oleh kerana itulah disyaratkan bahawa
hukum Amar ma’ruf nahi Mungkar adalah wajib yang tidak boleh dinafikan
lagi. Berikut adalah dalil-dalil kewajipan menjalankan amar ma’ruf nahi
mungkar.
Dalil kewajipan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar
Abul -Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Umar bin Abdul-Aziz berkata: “Sesungguhnya
Allah s.w.t. tidak menyiksa orang-orang umum kerana dosa-dosanya
orang-orang yang tertentu tetapi apabila perbuatan dosa itu merahajalela
dan terang-terangan kemudian tidak ada yang menegur, maka bererti
semuanya sudah layak menerima hukuman.”
Dan diriwayatkan bahawa Allah s.w.t. telah mewahyukan kepada Yusya bin Nun.:
“Aku akan membinasakan kaummu empat puluh ribu orang yang baik-baik dan enam puluh ribu orang yang derhaka.”
Nabi Yusya bertanya: “Ya Tuhan, itu orang derhaka sudah layak, maka mengapakah orang yang baik-baik itu?”
Jawab Allah s.w.t.: “Kerana mereka tidak murka terhadap apa yang Aku murka, bahkan mereka makan minum bersama mereka yang derhaka itu.”
Abu Hurairah r.a. berkata:
“Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (yang bermaksud):
“Anjurkan lah kebaikan itu meskipun kamu belum dapat mengerjakannya dan
cegahlah segala yang mungkar meskipun kamu belum menghentikannya.”
Anas r.a. berkata:
“Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (yang bermaksud):
“Sesungguhnya diantara manusia itu ada yang menjadi pembuka untuk
kebaikan dan penutupan dari kejahatan, dan ada juga manusia yang menjadi
pembuka kejahatan dan penutupan kebaikan, maka sesungguhnya untung bagi
orang yang dijadikan Allah s.w.t. sebagai pembuka kebaikan dan binasa
bagi yang dijadikan Allah s.w.t. pembuka kejahatan itu ditangannya.”
BEBERAPA KEPERLUAN KESEDIAAN AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR
1. Keimanan yang mendalam.
Ia bermaksud menganggap Islam itu adalah petunjuk
yang benar dan selain dari itu adalah kebatilan. Keyakinan terhadap
kebenaran itulah yang menjadi prinsip yang tidak boleh ditawar-tawarkan
lagi. Setiap penyelewengan dari prinsip itu adalah kesesatan yang lahir
dari nafsu keinginan yang merupakantanda kurang sempurnanya iman.
2. Ilmu yang hak
Ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu yang bersandarkan
kepada AlQur’an dan AsSunnah yang mulia. Seseorang daie perlu mengetahui
segala nas-nas yang berakitan serta hukum supaya ia dapat mengetahui
kedudukan sebenar orang yang ingin ditegahnya.
3. Matlamat untuk keredhaan Allah
Tiada yang lebih tinggi dari mendapat keredhaan dan
kecintaan Allah. Inilah matlamat setiap para nabi dan Rasul dan juga
para sahabat di dalam menempuh amar ma’ruf nahi mungkar ini.
MATLAMAT YANG INGIN DICAPAI MELALUI DAKWAH:
Ada beberapa matlamat umum yang digariskan adalah:-
1. membawa kepada Islam bagi orang yang belum menganut Islam.
2. mempertingkatkan mutu kefahaman dan penghayatan Islam.
3. mendirikan sebuah negara yang diredhai Allah.
4. menuju kepada keselamatan dan kebahagiaan.
5. mendapat Keredhaan Allah.
KAEDAH AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR
Sebagaimana yang disabdakan oleh baginda Nabi saw, iaitu:-
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan
kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya(kuasanya).
Jika sekiranya ia tidak berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan
lidahnya. Dan jika ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya
dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya)
adalah selemah-lemahnya iman”. (HR Muslim)
1. Dengan tangan ( Kuasa / pemerintahan)
Pemerintahan mempunyai kuasa mutlak untuk menegah dan
melarang suatu perbuatan mungkar itu. Ia boleh mengubah atau meletakkan
hukuman serta pencegahan bagi rakyat atau orang yang di bawah
pimpinannya. Oleh itu, pemimpin akan ditanya lebih dari rakyat atau
orang biasa di hari akhirat kelak. Justeru itulah jemaah islam wajib
mendapatkan kuasa / pemerintahan sebagai batu asas untuk mengajak kepada
yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan mungkar kepada masyarakat di
bawahnya.
Dalam konteks kemsyarakatan pula, dengan kuasa
bermaksud dengan organisasi yang ditadbir. Sebagai contoh, jika seseoang
itu menjadi pengarah syarikat atau organisasi pentadbiran, dia boleh
melaksanakan sesuatu arahan contohnya mewajibkan kakitangan atau
pekerjanya menutup aurat, berkelakuan sopan, mengasingkan antara lelaki
dan perempuan, menepati masa dan sebagainya. Mana-mana perlanggaran
kepada syariat Islam bolehlah diambil tindakan.
2. Dengan lidah / ucapan / lisan
Kaedah ini hanya boleh dilaksanakan sekiranya
seseorang atau kumpulan tidak mampu mengubah dengan kuasa- yang beerti
ia mesti dilaksanakan melalui kaedah lidah lisan. Banyak cara atau
kaedah yang boleh dilakukan dengan cara ini termasuk;
a.) Nasihat / peringatan – sewaktu
Nabi-nabi dan Rasul-rasul menjalankan misi dakwah mereka, mereka
menggunakan kaedah nasihat atau peringatan tentang ganjaran dan siksa
yang bakal manusia itu tempuh di akhirat kelak. Para diae diingatkan
supaya menggunakan kaedah nasihat yang baik terlebih dahulu sebelum
menggunakan kaedah ancaman. Cara ini boleh dilakukan melalui ceramah,
majlis ilmu, penerangan, dan juga secara peribadi (fardiyah)
b.) Penerangan – Ia meliputi aspek yang meluas seperti ceramah, risalah dan majalah, poster, kempen dan sebagainya
c.) Penulisan – ia juga adalah suatu
aspek dakwah yang berkesan. Para daie perlu menguasai ilmu penulisan
dan sebarkan kepada masyarakat tentang kebaikan Islam, keburukan
kemungkaran yang dilakukan. Penulisan adalah berbentuk komentar,
risalah, poster, majalah, surat khabar, memorandum dan sebagainya.
3. Dengan Hati (membenci dan tidak meredhai)
Nabi saw menyatakan bahawa ini adalah kaedah yang
paling nipis iman bagi umat Islam. Kaedah ini hanya boleh dilakukan
setelah berikhtiar melalui kaedah kuasa dan lidah yang tidak memberikan
kesan bahkan memudharatkan seseorang daie atau jemaah Islam itu sendiri.
Ini beerti seseorang daie tidak dibenarkan sama sekali meredhai maksiat
dan kemungkaran tersebut dan berusaha menjauhinya sedapat mungkin
dengan membawa bersama pengikut-pengikut ke tempat lain. Ini kerana
untuk mengelakkan kemurkaan dan bala Allah swt di tempat tersebut. Namun
jika tidak terdaya membencilah sedapat mungkin sambil berdoa supaya
masyarakat yang jahil supaya mereka sedar.
STRATEGI MENJALANKAN AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR.
Strategi adalah sama dengan berdakwah. Ia memerlukan
kebijaksaan, ketegasan, iltizam dan semangat serta tidak putus asa dalam
menjalankan kerja yang mulia ini. Adakalanya daie perlu bertegas dan
melakukan sesuatu yang dianggap keras bagi sesautu perkara atau terhadap
segelintir orang. Adalah kerana untuk menyedarkan manusia yang sombong
yang tidak mahu mendengar teguran dan nasihat yang baik. Manakala untuk
golongan yang mudah dinasihati adalah dengan cara berhikmah dan nasihat
yang baik.
Namun tidak diketahui strategi yang paling berkesan
selain daripada melakukan amar ma’ruf nahi mungkar secara berjemaah. Ia
adalah strategi yang paling baik kerana dengan berjemaah akan mempunyai
kekuatan dan sokongan yang ramai